Ekonomi
SAHAM KL DIJANGKA TERUS MENINGKAT
KUALA LUMPUR 16 Jan. - Bursa Malaysia, yang mencatatkan kenaikan pada minggu ini melepasi paras 920 mata berikutan belian besar-besaran
daripada institusi asing dan peruncit tempatan dijangka meneruskan aliran meningkatnya minggu depan di tengah-tengah sokongan keputusan
korporat yang positif dan prospek ekonomi yang bertambah baik.
Para peniaga berkata jumlah dagangan yang besar telah membantu bursa itu mencatatkan paras tertingginya dalam tempoh empat tahun setengah pada
Selasa lepas pada 930.63 mata dengan kegiatan pengambilan untung hanya memberi sedikit kesan kepada kenaikan tersebut yang disambut baik oleh para pelabur.
"Meskipun berlaku kejadian gangguan bekalan elektrik di beberapa negeri, ianya tidak menjejaskan minat pelabur apabila mereka membeli saham mewah
dengan pelabur runcit mendapatkan saham berharga rendah dan saham berharga kurang daripada seringgit," kata seorang penganalisis.
Beliau berkata "belian terpilih oleh pelabur tempatan dan asing dijangka menyediakan sokongan kepada kenaikan Bursa Malaysia pada minggu depan
selepas kegiatan window-dressing (memperelokkan akaun) pada akhir tahun lepas."
Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, penanda aras pasaran Indeks Komposit (IK)
berada dalam kedudukan positif meskipun para pelabur mula menyimpan keuntungan daripada
kenaikan terdahulu terutamanya dalam saham mewah seperti Telekom dan Maybank.
Pengambilan untung ditambah dengan penurunan besar semalaman di Dow Jones menyebabkan IK ditutup tinggi sedikit daripada paras rendah pada 929.74
daripada 916.28, naik 13.46 mata.
Para penganalisis menjangka IK bergerak dalam jajaran antara 930 dan 935 mata pada minggu depan.
Para pelabur dijangka menumpukan kepada saham mewah terutama syarikat-syarikat milik kerajaan apabila pelabur institusi terus mengumpul saham
untuk membina semula portfolio mereka selepas kegiatan window-dressing tahun lepas.
"Para pelabur juga berpuas hati dengan pendekatan proaktif bursa itu dengan menyediakan bekalan kuasa sokongan bagi sistem dagangan berkomputernnya
yang tidak mengganggu urus niaga perniagaan mereka," kata penganalisis tersebut.
Asas masih lagi kukuh seperti yang dibuktikan dengan kenaikan menggalakkan yang dicatatkan oleh empat penyenaraian baru - tiga di pasaran Mesdaq dan satu di Papan Utama.
Saham Heveaboard, pengeluar papan partikel dan perabot yang memulakan dagangan sulungnya di Papan Utama dibuka pada RM2.88, mencatatkan premium
88 sen mengatasi harga tawaran RM2.00 manakala Ecofuture dibuka pada 40 sen bagi premium 15 sen mengatasi harga tawaran 25 sen di Mesdaq.
Efficient mencatatkan premium 35 sen mengatasi harga tawarannya pada 63 sen manakala saham Asdion dibuka pada 96.5 sen bagi premium 46.5 sen
mengatasi harga tawarannya pada 50 sen.
Indeks Emas di Papan Utama ditutup pada 219.74 mata, naik 3.28 mata berbanding 216.46 sebelumnya manakala Indeks Perusahaan ditutup
pada 2,008.57 mata, meningkat 33.62 mata daripada 1,974.95 sebelumnya.
Indeks Papan Kedua menokok 2.33 mata kepada 114.50 manakala Indeks Pasaran Mesdaq naik 0.79 mata kepada 124.44.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.044 bilion saham bernilai RM5.918 bilion daripada 2.027 bilion saham bernilai RM4.039 bilion pada minggu lepas.
Jumlah dagangan di Papan Utama naik kepada 2.120 bilion saham bernilai RM5.120 bilion daripada 1.536 bilion saham bernilai RM3.555 bilion sebelumnya.
Jumlah dagangan di Papan Kedua menambah 546.405 juta saham bernilai RM506.517 juta daripada 331.306 juta saham bernilai RM339.356 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq naik kepada 327.521 juta saham bernilai RM250.361 juta berbanding 145.860 juta saham bernilai RM122.85 juta sebelumnya.
Urusniaga langsung jatuh kepada 578.514 juta saham bernilai RM1.466
bilion daripada 775.414 juta saham bernilai RM1.584 bilion pada minggu
sebelumnya.
- Bernama
Source:
utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0117&pub
=utusan_malaysia&sec=ekonomi&pg=ek_03.htm&arc=hive
<< Back